Friday, October 10, 2014

Rezeki

Alhamdulillah. Hampir 6 bulan sebagai peniaga sepenuh masa. Meneruskan perniagaan percetakan dan sulaman pakaian yang aku mulakan sejak tahun 2008 yang lalu. Jika diukur masa maka sudah 7 tahun umur perniagaan ini.

Ada orang bertanya, kenapa tidak kelihatan marketing yang aku buat di facebook? Berniaga macam mana? Aku memang tidak membuat promosi di facebook. Aku lebih selesa diasingkan akan keduanya. Kehidupan peribadi dan perniagaan. Aku sendiri rasa rimas dengan rakan-rakan yang setiap kali update statusnya berkaitan produk jualan. Sikit-sikit tak apa. 
Bulan ini alhamdulillah tercapai lagi target jualan lebih dari sasaran. Memenuhi tempahan dari UPSI, UIAM sempena iKOD l, USM, Panasonic dan lain-lain. Hari ini masuk lagi seguni seberat 35kg. InshaAllah ini permulaan bagi sesuatu yang lebih besar.

Friday, April 11, 2014

Kental!

Kental! Jatuh bangun adat orang berniaga. Tambah lagi peniaga kerdil seperti aku. Tidak punya tongkat. Tidak pula meminjam tongkat. Bahkan tidak diberi tongkat. Lantas aku tetap harus melangkah kerana itu tetapan yang aku putuskan demi survival hidup. Ada kala banyak habuannya dan ada kala langsung tiada. Namun syukur mengajarku erti cukup dan sabar mengertikan aku erti usaha. Inilah laluan rezeki yang dibukaNya untuk aku membela nasib diri dan keluarga.  Lantas aku rasa bahagia. Kenapa? Kerana aku tidak punya tongkat-tongkat yang mana tuan empunya menanti habuannya. Biarlah aku susah merangkak dalam merencana asal bukan bertongkatkan harta dunia. Lalu aku mengutip walau secebis pengalaman pahit manis dalam kehidupan. Mengerti akan setiakawan, kejujuran. Malah ada juga yang memerah keringatku tanpa belas walaupun pada hakikatnya aki cuma relawan dan aku tidak mengambil bayaran. Begitulah hakikatnya kehidupan menjadi peniaga tidak bertongkat.

Merencana kehidupan yang lebih baik dengan izin Allah.